Latar belakang Kereta_Api_Kawasan_Ibu_Negara

Laluan pertama rangkaian kereta api bawah tanah atau metro mula dibina pada 1971 dengan bantuan iktisad dan teknikal dari Jepun.[4] Bahagian pertama laluan itu dibina dengan menggunakan kaedah pembinaan gali dan timbus. Ia akhirnya dibuka pada 15 Ogos 1974 dengan khidmat operasi langsung bersama laluan–laluan kereta api bandar sekeliling yang dikendalikan oleh Perbadanan Kereta Api Korea (Korail), serupa seperti sistem kereta api bawah tanah di Tokyo.[5] Pada hari ini, kebanyakan laluan rangkaian Kereta Api Kawasan Ibu Negara dikendalikan oleh dua syarikat utama iaitu Korail dan Perbadanan Pengangkutan Seoul (gabungan syarikat Seoul Metro dan Perbadanan Transit Laju Metropolitan Seoul).

Jaringan kereta api ini digambarkan sebagai sistem metro berbilang pengendali terpanjang di dunia mengikut panjang laluan.[6] Sistem ini dinilai sebagai salah satu sistem kereta api terbaik di dunia oleh CNN[7] dan Jalopnik.[8] Ia dikenali dengan kebersihan dan penggunaan yang mudah dengan teknologi maju seperti khidmat 4G LTE, Wi-Fi, DMB dan WiBro yang boleh dicapai di kesemua stesen dan kereta api.[9] Hampir kesemua stesen mempunyai pintu tabir platform; hanya beberapa stesen yang dikendalikan oleh Korail masih lagi dengan platform terbuka, sebelum ia selesai dipasang pada tahun 2017. Satu kedai maya pertama di dunia untuk pengguna telefon pintar telah dibuka di stesen Seolleung pada 2011.[7]

Kereta api dengan laluan-laluan bernombor biasanya beroperasi di landasan sebelah kanan, manakala kereta api dengan laluan-laluan bernama (contohnya AREX) beroperasi di sebelah kiri. Pengecualian untuk kereta api Laluan 1 dan juga Laluan 4 di selatan stesen Namtaeryeong kerana ia dikendalikan oleh syarikat pengendali kereta api kebangsaan Korea Selatan, Korail.[10]